FAQ   Search   Memberlist   Usergroups   Register   Profile   Log in to check your private messages   Log in 

FRAGMEN 49; 24.1.08: BEGINIKAH AKHIRNYA?

 
Post new topic   Reply to topic    eymanhykal Forum Index -> HATIKU DI HATIMU
View previous topic :: View next topic  
Author Message
eyman hykal



Joined: 08 Jul 2005
Posts: 502

PostPosted: Thu Jan 24, 2008 1:18 pm    Post subject: FRAGMEN 49; 24.1.08: BEGINIKAH AKHIRNYA? Reply with quote

FRAGMEN AKHIR

Beginikah Akhirnya?

LELAKI itu menyeringai sebaik sahaja kanak-kanak itu disambut buat sekian kalinya. Dia berjaya membuat Umie meratap setiap kali Amin dilambung ke udara. Malah, hatinya puas bila berjaya membuat Umie merangkak dan melutut di kakinya. Hatinya berbunga kerana berasa hebat menakluk Umie dengan cara itu. Inilah yang dia mahu.

“Bakar, tolonglah. Jangan apa-apakan lagi budak tu,” Umie merayu.
“Oh… pandai takut!” kata Bakar lalu ternganga-nganga ketawa. Tangannya memeluk kemas kaki Amin yang meronta-ronta. Lalakan budak itu sudah membingitkan.
“Letakkan budak tu. Aku tak sanggup tengok dia meratap. Kesian, dia.”
“Boleh, Umie. Tapi engkau kena janji yang engkau nak kerja kat dangdut tu! Jangan main lari, lari sampai kawan aku si Mamud tu marah. Mamud tu dah banyak tolong aku. Aku kena jaga hati dia. Dan kau pulak kenalah jaga hati aku. Itu aje yang aku mau.”

Bila mendengar kata-kata Bakar, Umie terdiam. Pelbagai gambaran kisah lalu bersimpang siur tertayang di layar mindanya. Kesemuanya merangsang rasa sebak di dada.
Umie menyumpah di dalam hati. Dia kenal sangat dengan taktik Bakar. Mula-mula semuanya elok. Lama-lama semuanya membelok. Umie mengenali Bakar ketika bekerja di kilang plastik di Kajang.

Ketika itu, Bakar menjaja makanan dengan van dari kilang ke kilang. Dia baik sangat kerana selalu berlebih kurang dengannya dalam berjual beli. Tidak disedarinya yang Bakar sebenarnya memasang jarum.
Satu hari Bakar menawarkannya kerja di sebuah salun kecantikan wanita. Kerja itu lebih mudah. Tidak seteruk kerja di kilang bila terpaksa berdiri hingga 12 jam bagi satu syif.

Mula-mula Umie menjadi shampoo girl, kemudian diberi latihan mengurut muka sehingga pandai membuat rawatan resdung dan ear candling. Baru saja Umie selesa bekerja dengan pendapatan yang lebih lumayan, Bakar mengajaknya bekerja sebagai pelayan di sebuah karaoke di Cheras.

Pendapatannya memanglah lebih besar. Namun, Umie tak tahan dengan suasana kerja yang berkehendakkan dia melakukan lebih dari sepatutnya. Dia tahu hidupnya akan hanyut. Lantas dia memasang niat untuk berhenti.

Peluangnya tiba bila dia berkenalan dengan Mazlan iaitu drebar lori kepunyaan Bakar. Rupa-rupanya mereka senasib. Kalau dia tersungkur ke pintu maksiat, Mazlan pula terjerumus di pintu jenayah. Dia bertugas sebagai memandu lori membawa barang curi seperti besi dan kabel.
Lantas kedua-duanya berpakat lari dan berkahwin. Sejak itu mereka berjaya menyembunyikan diri dari Bakar. Selama dua tahun mereka lari ke Kapar, Kelang sehinggalah mereka kembali ke Kampung Kayu Ara, Damansara bila Mazlan mendapat kerja di Percetakan Deras.

Malangnya, rumah sewa mereka ini rupa-rupanya kepunyaan isteri ketiga Bakar. Lantas mereka bertemu kembali dengan malaun ini. Pada mulanya Bakar memang baik, seolah-olah sudah melupakan perselisihan mereka. Namun, jerat tak pernah melupakan rusa.
Mula-mula Bakar datang ke rumah kononnya menolong isterinya mengutip sewa. Lama-lama dia mengendeng dan cuba mengurat Umie. Sebaik sahaja Mazlan meninggal dunia, Bakar mula menunjukkan belang dan mengeluarkan kukunya…

“Macam mana, Umie?”
Soalan Bakar itu mengembalikan fikiran Umie ke suasana kini. Dia terkelip-kelip memandang Bakar. Lelaki ini memang tak reti bahasa. Mengajak orang bergelumang dengan maksiat dengan selamba seolah-olah kerja itu tidak berdosa.

“Alah, bukannya susah sangat kerja tu. Goyang kiri, goyang kanan dengan laga-laga punggung sikit... orang pun bayar. Kalau kau layan baik-baik, layan lebih-lebih, kau akan dapat tip. Ha, aku pun bolehlah merasa sekali!”
“Sudahlah Bakar. Aku tak nak buat kerja maksiat tu!” bentak Umie.
“Apa?”
“Bakar! Jangan!”

Umie terjerit bila Bakar menghumban Amin. Mujurlah ke atas tilam. Budak itu terjerit nyaring. Dengan segera Umie menerkam dan memeluk anaknya.
“Kalau engkau tak nak cara baik, tak apa. Aku ada cara tak baik.”
Dengan pantas Bakar mengeluarkan sebilah pisau belati! Umie ternganga terkejut. Matanya membulat memandang pisau yang berkilat itu. Namun, pelukannya ke tubuh Amin semakin kemas dan erat.

“SAYA pun nak minta maaf kerana hari tu saya berlakon seolah-olah saya terkena amnesia. Saya saja-saja nak bergurau dengan Ayu.”
Kata-kata itu mengundang reaksi Ayu. Secara spontan dia terjeling dan menjelirkan lidahnya pada Razen. Tiba-tiba…
“Awww…”

Satu cubitan singgah ke peha Razen. Seluar traknya yang nipis membolehkan Ayu mengetip terus ke urat pahanya. Razen mengaduh kesakitan kerana berasa sengal. Tetapi dia juga tersengih kerana reaksi itu menunjukkan Ayu tidak marahkannya. Kalau ada pun, marah-marah sayang!
“Ayu malu, tau!” kata gadis itu lalu mencebir bibirnya. “Pakcik Johan tu nampak aje selamba. Tapi Ayu dah agak, dia mesti cerita pada makcik Noraini bagaimana abang kenakan Ayu. Memang betul, pun. Malam tu makcik Ani tak sudah-sudah perli Ayu, tau tak?”

“Sorilah, Ayu. Lain kali saya tak akan buat lagi. Sumpah!” kata Razen lalu mengangkat tangannya seperti orang berikrar.
Suasana sepi seketika. Kedua-duanya memerhati sepasang angsa berenang-renang di tepi tasik. Mentari senja mula hilang di balik pepohon di seberang tasik. Suasana itu amat mendamaikan hati Razen.

Dua wajah gadis yang pernah menambat hatinya mula terbayang di matanya. Gadis pertama, Nurul Syuhada. Gadis teman sekampus yang aktif dengan sukan lasak telah menambat hatinya. Mereka telah bertukar cincin. Bertunang secara tak rasmi. Tetapi takdir menentukan mereka berpisah bila gadis itu lemas dalam satu aktiviti ekspedisi.

Gadis kedua, Nurul Efnaliza. Dia gadis yang tegas. Bertemu ketika Razen cedera ketika menyelamatkan seorang wanita India dari peragut. Kebaikannya membantu Razen ke klinik, menjadikan perkenalan secara kebetulan itu melahirkan bibit-bibit kasih. Sayangnya, gadis itu tunangan orang. Dengan penuh hormat, Razen mengundur diri.

Kini Ayu Fatiha hadir dalam hidupnya. Ayu tidak lasak seperti Nurul Syuhada maupun tegas seperti Nurul Efnaliza. Dia adalah gadis yang penuh dengan sifat-sifat lemah lembut gadis timur.
Ayu sensitif, perajuk dan tak pandai meluahkan perasaan seperti gadis-gadis lain sebelumnya. Namun Razen senang sekali dengan gadis ini. Perangai Ayu sebegini menjadikan sikapnya sukar ditelah ~ langsung menjadikan Ayu gadis yang penuh dengan teka-teki. Ia mencabar Razen untuk berfikir bagaimanakah mengetuk hati gadis yang seorang ini. Barangkali inilah yang menjadikan Razen tertarik dengan Ayu. Cabaran.
Saryna yang duduk berjauhan sedikit dari mereka bertukar-tukar isyarat dengan Ayu. Razen ternampak bicara tanpa suara mereka.

“Ayu nak balik, ya? Okey… dah nak maghrib ni… jom!” ujar Razen.
Lalu ketiga-tiganya terus bangun. Tapi, ada sesuatu yang terjatuh ke tanah.
“Telefon jatuh, bang…” kata Ayu.
Razen tak perasan dia tidak menyimpan fonselnya betul-betul di dalam poket. Lalu ia menggelongsor jatuh ke tanah. Sambil tersenyum Razen mengutipnya.

‘Eh, ada mesej?’ kata hati Razen.
‘Tolong! Ada orang nak serang saya!’
Razen terhenti berjalan bila membaca mesej dari Umie itu. Barulah dia teringat sebentar tadi Umie memintanya datang ke rumah. Suaranya cemas. Kalau tidak kerana kemunculan Ayu, mungkin dia sedar ketibaan pesanan ringkas itu lalu bertindak. Rasa kesal timbul mendadak di sanubarinya. Memberatkan fikiran dengan rasa bersalah.

‘Kenapa aku bertangguh bila Umie minta tolong dari aku? Mengapa aku tak pedulikan Umie dalam kesusahan? Apakah kerana kegembiraan yang sedikit dengan Ayu buatkan aku terlupa pada budak kampung aku sendiri? Hisy… kenapa aku macam ni?’ desis Razen di dalam hati.
Dengan segera dia membuat panggilan. Untuk seketika dia menanti bunyi nada dering.

“Telefon siapa?” tanya Ayu sedikit curiga bila memandang wajah Razen yang keruh.
“Kilang,” bohong Razen, lantas memaniskan wajah.
Jawapan suara berkomputer mengatakan nombor yang dipanggil tidak dapat dihubungi membuatkan Razen berasa kecewa. Dia berasa tak sedap hati bila teringat-ingat pada nada suara Umie ketika menghubunginya tadi. Lalu Razen terus memecut lari pulang ke pondoknya. Dia perlu ke rumah Umie secepat mungkin.

Minggu depan: BERDANSA DENGAN MAUT, Insya-ALLAH...
_________________
Back to top
View user's profile Send private message
Display posts from previous:   
Post new topic   Reply to topic    eymanhykal Forum Index -> HATIKU DI HATIMU All times are GMT + 8 Hours
Page 1 of 1

 
Jump to:  
You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot delete your posts in this forum
You cannot vote in polls in this forum


Powered by phpBB © 2001, 2002 phpBB Group : Theme and Graphics created by Tim Blackman