FAQ   Search   Memberlist   Usergroups   Register   Profile   Log in to check your private messages   Log in 

KHAS BUAT SEORANG SAHABAT ~ ZAINAL ABIDIN ABBAS a.k.a ENAL

 
Post new topic   Reply to topic    eymanhykal Forum Index -> KHAS: PERGINYA SEORANG WIRA YANG TAK DIDENDANG
View previous topic :: View next topic  
Author Message
eyman hykal



Joined: 08 Jul 2005
Posts: 494

PostPosted: Tue Sep 04, 2007 8:34 am    Post subject: KHAS BUAT SEORANG SAHABAT ~ ZAINAL ABIDIN ABBAS a.k.a ENAL Reply with quote

PERGINYA SEORANG WIRA YANG TAK DIDENDANG

AKU punyai dua angle artikel sempena ulangtahun kemerdekaan ke-50. Yang pertama artikel yang nostalgik mengenai latar hidupku selama 50 tahun. Sebagai individu yang lahir pada tahun 1957, kemerdekaan mempunyai semangat yang terpahat dan berbekas di hati. Hingga ke hari ini, bulu tengkukku akan berdiri bila merenung jalur gemilang yang berkibar. Namun, bila menulis artikel ini beberapa hari lalu, aku rasa ia terlalu meleret.

Lantas aku berkira-kira untuk menulis artikel yang kedua mengenai beberapa kemerdekaan peribadi yang berjaya aku tempuhi. Antaranya dapat mengerjakan haji, berhenti merokok dan membayar hutang tertunggak dengan sahabat-sahabat sejak zaman aku membujang lagi. Artikel kedua inipun tak dapat aku tulis dengan lancar. Mengapa ada mental goblok (istilah aku bagi mental block) kali ini?

PADA malam 31 Ogos 2007, aku bersantai di rumah dengan anak-anak yang pulang bercuti sempena kemerdekaan. Berbual tentang pelajaran dan persahabatan mereka. Sebelum aku tidur, aku mencapai fonsel untuk hidupkan penggera waktu. Tiba-tiba aku terpandang tiga mesej yang belum kubuka. Ketiga-tiganya tiada nama pengirim. Hanya ada nombor-nombor fon sahaja. Mesej siapa dan apa, ya?

Innalillah… ketiga-tiga mesej datang dari sahabat-sahabat mengenai seorang sahabat baik aku, Zainal Abidin Abbas yang baru sahaja meninggal dunia pada jam 9.50 malam itu. Allahyarham Zainal, 48, meninggal di rumahnya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru akibat strok.



Allahyarham Zainal (dua dari kanan) sebagai peserta kursus kepimpinan. Lokasi foto di Panggung Anivessary, K. Lumpur. (Foto 1978)

Kali terakhir aku menziarahinya ialah pada pertengahan Jun lalu. Walaupun telah mengalami dua serangan strok, dia riuh bila melihat aku sampai. Sambil berjalan bertatih dan dipimpin isteri tersayangnya, Jai, dia terus dengan perangainya yang peramah. Habis semua sahabat-sahabat ditelefonnya mengatakan aku datang. Emaknya pun diberitahu tentang kedatanganku. Begitulah Enal. Dia adalah penghubung. Kalau aku nak mencari sahabat lama yang hilang entah ke mana, tanyalah dia. Enal tahu di mana si polan-si polan berada. Kalau dia tak tahu, dia akan hubungi sahabat-sahabat lain sehingga dia memperolehinya lalu memberitahuku maklumat yang diperolehinya.

PERSAHABATANKU dengannya bermula ketika kami menuntut di UiTM Shah Alam. Aku aktif dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. Dalam sebuah kursus kepimpinan di mana aku menjadi AJKnya, Enal menjadi pesertanya. Sikapnya yang hu-ha, suka mengusik tetapi natural born organizer menjadikan dia popular di kalangan peserta kursus. Melihat potensi kepimpinannya, aku mengajak Enal menjadi penolongku untuk kursus-kursus kepimpinan berikutnya.



Satu-satu gambar kenangan aku dengan Allahyarham
di depan kelas bimbingan di Rompin, Pahang. (Foto 1979)

Banyak peristiwa yang aku lalui bersamanya terutamanya di zaman bujang. Antara yang aku tak lupa ialah ketika menumpang kereta Toyota Celicanya dalam perjalanan jauh. Sesiapa sahaja yang duduk di sebelahnya adalah co-pilot. Aku pernah sekali-dua menjadi co-pilotnya. Sebagai co-pilot, perkara pertama yang dipintanya ialah menjadi tukang tukar gearnya. Bukankah kerja memandu dan menukar gear itu kerja pemandu? Tapi tidak buat Enal. Sengaja dia menyakat aku menukarkan gear untuknya.

Kemudian bila dia nak merokok, dia akan minta aku nyalakan rokok dan sedut sekali-dua sebelum serahkan padanya. Bila dia hendakkan air, kenalah aku suakan straw teh ais bungkus ke mulutnya. (Pada zaman 80an, air mineral belum popular lagi). Tapi yang paling tak tahan ialah bila aku disuruh jadi teman berbualnya untuk mengelakkan dia dari mengantuk. Jangan haraplah aku dapat tidur sebab, kalau tertidur, dia akan geletek sampai aku jaga!



Allahyarham Zainal, (tiga dari kanan) bersama ahli-ahli Gabungan Pelajar Melayu Semananjung cawangan UiTM bergambar dengan gurubesar SK Rompin sempena projek Operasi Khidmat Masyarakat. Di sebelah kirinya, saya.

(Foto 1979)

PADA suatu ketika, kami boleh dikatakan tidak berhubung lebih lima tahun. Satu hari, kawan perempuan kepada kawan aku mencari ayahnya untuk dijadikan wali pernikahan mereka. Ayahnya telah berpisah dengan ibunya sejak kecil. Namun gadis itu ada alamat ayahnya yang tinggal di Johor Bahru. Lantas kawan aku menceritakan masalahnya, aku menawarkan bantuan. Siapa sebenarnya yang membantu? Enal!

“Enal! Aku nak engkau cari Kassim bin Sabtu, di alamat 6347, Jalan Kolam Air, JB. (Nama dan alamat adalah rekaan). Jumpa atau tak jumpa pun engkau beritau aku!” begitulah arahanku begitu saja padanya sebaik sahaja dia menjawab panggilanku.
“Din… orang itu dah pindah. Sekarang tak tau di mana,” ujar Enal pada keesokannya.

Begitulah kami. Dah bertahun tak bertemu pun aku boleh terus memberi arahan padanya dan dia akan sempurnakan tanpa soal. Kadangkala dia akan terjah aku dengan permintaan-permintaan dan aku akan cuba settlekan. Inilah antara sahabat aku dunia dan akhirat. Pemergiannya akan kukenang. Malah, aku dan sahabat-sahabatku yang lain dah sepakat hendak tengok-tengokkan keluarganya. Itu saja yang dapat kami lakukan untuk membalas budi baiknya.

Kerana rapatnya aku dengannya, watak Zamri di dalam novel pertamaku, Dekat di Hati adalah Enal. Aku memberitahunya. Dan seperti lazimnya dia hanya tersengih. Diperturunkan sedikit fragmen mengenai Enal sebagai Zamri di dalam novel itu.

“Zamri kawan aku ni memang montel. Kuat makan, kuat tidur, tapi kuat belajar. Kalau makan mesti dua… dua burger, dua gelas air, dua pinggan nasi, dua biji pisang, hatta dua mangkuk aiskrim! Kalau tidur pun dua juga; duapuluh empat jam!

Bila hari cuti, dia hanya akan bangun untuk sembahyang dan minum segelas air dan kemudiannya dia akan ‘babam’ mengikut istilahnya. Tapi kalau belajar memang kuat dari orang lain. Di musim peperiksaan, masa tidur dan belajarnya berselang-seli tanpa henti hingga santak ke waktu peperiksaan.

Aku takut dengan cara dia belajar kerana tidur-tidur ayam hingga ke pagi. Aku takut dia boleh black-out di dewan peperiksaan. Tapi dia tersengih sahaja bila aku menegurnya. Memang dia sesuai dengan program pembelajarannya.”


Lama juga aku termenung mengingatkan suara, gelak, lawak dan marahnya. Tanpa aku sedar, memang dia dekat di hatiku sehingga aku merakamkan wataknya dalam novelku sebagai satu penghormatan. Kini baru aku teringat mengapa aku selalu teringatkannya dalam seminggu dua ini. Dan baru kutahu apa alamat mimpiku beberapa hari lalu.

Aku bermimpi, salah sebuah album yang juga mengandungi foto-foto kami ketika di zaman kampus tiba-tiba terbakar dan hilang...

SESUNGGUNYA 31 Ogos 2007, sempena 50 tahun kemerdekaan rupa-rupanya membawa erti yang tersendiri buatku. Selamat jalan, Enal. Semoga roh engkau, gembira bila dihimpunkan bersama roh-roh orang yang mendapat rahmat ALLAH ~ mungkin senyum di wajahmu ketika dikafankan adalah gambaran ketenanganmu.


Amin, yarabbal alamin.
Al-fatihah.



Allahyarham Enal disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada 1.9.2007 di lot 4140.
[/i]
_________________


Last edited by eyman hykal on Thu Oct 25, 2007 4:21 pm; edited 2 times in total
Back to top
View user's profile Send private message
eyman hykal



Joined: 08 Jul 2005
Posts: 494

PostPosted: Tue Sep 04, 2007 9:31 am    Post subject: KEPADA PARA SAHABAT Reply with quote

ENAL~ WIRA YANG TAK DIDENDANG

Sebenarnya Allahyarham ada jasa dalam membentuk pelajar Melayu untuk berjaya dalam pendidikan. Jasanya kecil, tetapi berkesan. Apa yang saya perturunkan ini adalah apa yang saya ingat. Tentu ada banyak lagi aktiviti yang saya tak tahu terutamanya dalam tahun-tahun 90an hingga 2007 kerana saya tahu, Allahyarham, Sulaiman Yunos dan Cikgu Nordin Ahmad amat aktif di Johor Bahru.

Saya teringat, pada awal tahun 1980an, beliau mengajak saya dan dua orang sahabat, Sulaiman Yunus (kini seorang pensyarah di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim, JB) dan beberapa orang teman seperti Kamaruddin Ghani (kini seorang usahawan) dan Ahmad Hamid@ Mat Janggut(seorang pensyarah di UiTM) untuk mendidik sekumpulan pelajar-pelajar Melayu di Johor Bahru.

Atas nama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung cawangan Johor Bahru, kami mengumpul 22 orang pelajar dari Tingkatan 4 hingga Tingkatan 6 ke sebuah kursus kepimpinan di Bukit Jepun, Johor Bahru. Kursus yang mendapat sokongan Biro Tatanegara cawangan Johor Bahru, di bawah Encik Hamsan Omar mempunyai satu iltizam.

Kami mau membalas jasa UiTM yang membentuk kami 'jadi orang.' Dengan kos pendidikan yang rendah, kami rasa kami perlu membalas jasa itu dengan mendidik pelajar-pelajar Melayu. Kumpulan 22 orang pelajar itu diberi nama O-22.

Hasilnya, alhamdulilah. Kesemuanya... ya kesemua pelajar-pelajar itu dibimbing hingga berjaya ke tangga universiti dan kini mereka menjadi para profesional di pelbagai sektor kerajaan dan swasta.

GPMS cawangan Johor Bahru turut lahir atas inisiatif beliau. Bagusnya Enal dengan PRnya' membolehkan DYMM Sultan Johor sudi mencemar duli ke Maktab Sultan Abu Bakar merasmikan cawangan tersebut.

Setahun kemudian, Enal melatih 5 orang pelajar tingkatan 6 untuk menjadi aktivis GPMS Johor Bahru. Mereka digelar JB-5. Kelima-lima mereka juga memperoleh keputusan STPM yang baik. Antaranya ialah Nasruddin Tajuddin yang kini di TV3.

Pada suatu ketika, Enal mengumpul beberapa orang siswa dari pelbagai universiti, (pada ketika itu hanya ada 5 universiti iaitu UM, UPM, UKM, UTM, USM dan ITM) untuk mewujudkan GAJ atau Gabungan Anak-anak Johor.

Itulah Enal, a natural born organiser.

Nota: Kepada para sahabat dan sesiapa sahaja yang membaca artikel ini, dipersilakan untuk menurunkan apa jua kata-kata buat ingatan kita bersama. ~ Eyman Hykal @ Norden.
_________________
Back to top
View user's profile Send private message
Norra



Joined: 17 Aug 2005
Posts: 127
Location: Kuala Lumpur

PostPosted: Tue Sep 04, 2007 12:37 pm    Post subject: Reply with quote

Sekecil bakti
yang ikhlas dan bererti
menjadi kenangan
selepas pergi

Al-Fatihah untuk arwah
_________________
Norra Hassan
Back to top
View user's profile Send private message Visit poster's website
nordinjb



Joined: 05 Sep 2007
Posts: 1

PostPosted: Wed Sep 05, 2007 5:55 pm    Post subject: Reply with quote

Sahabatku yang telah pergi,
Tak dapat ku cari ganti, Sad
Sesungguhnya dia terus berbakti,
Kehilangan merapatkan kita sehati. Very Happy

Nama jolokannya Enal Bulu, Laughing
Terkenal ia semenjak dahulu,
Jasanya kecil kesannya berpilu,
Tetap dikenang dihati selalu. Sad

Al-Fatihah.

NordinJB @ Nordin Cina
Back to top
View user's profile Send private message Send e-mail
hang nadim
Guest





PostPosted: Thu Sep 06, 2007 3:29 pm    Post subject: Reply with quote

kenangan dan ingatan.....tetap bersama kita semua....ape yang arwah lalui....tak semua kita ketahui....ape nasib kita???
Back to top
Ramle Othman
Guest





PostPosted: Thu Sep 06, 2007 5:25 pm    Post subject: Reply with quote

Pemergian Enal membawa banyak erti dalam nilai persahabatan kita terutamanya keluarga GPMS-ITM.
Back to top
Mohd Zawawi Ahmad
Guest





PostPosted: Thu Sep 06, 2007 6:37 pm    Post subject: Khas ingatan buat Allahyarham Zainal Abas Reply with quote

Al Fatehah. Semuga Allah SWT mencucuri Rahmat Keatas roh Allahyarham. Jasa-jasa dan kebaikannya kepada sahabat2 di kenang.

Sekian. Amin.
Back to top
hasnah
Guest





PostPosted: Tue Jan 22, 2008 12:11 pm    Post subject: Sahabat Reply with quote

Itulah sahabat yang sebenarnya,
Sahabat dunia & akhirat,
tetap bersama dalam apa jua ketika,
tetap di hati walaupun jauh dari mata...Crying or Very sad


p/s : rasa dihargai oleh sahabat semua. & ingin mencipta lebih byk kenangan bersama mereka...Insya Allah.
Back to top
Display posts from previous:   
Post new topic   Reply to topic    eymanhykal Forum Index -> KHAS: PERGINYA SEORANG WIRA YANG TAK DIDENDANG All times are GMT + 8 Hours
Page 1 of 1

 
Jump to:  
You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot delete your posts in this forum
You cannot vote in polls in this forum


Powered by phpBB © 2001, 2002 phpBB Group : Theme and Graphics created by Tim Blackman