eyman hykal

Joined: 08 Jul 2005 Posts: 540
|
Posted: Fri Aug 29, 2008 1:09 am Post subject: 29. KALA BERTEMU |
|
|
29 KALA BERTEMU
Pusat Perubatan Damansara One, Petaling Jaya
DINA terjaga. Suasana hening. Dia memandang ke sekeliling. Fikirannya segera mengatakan yang dia kini berada di wad untuk berehat bagi memulihkan trauma kerana hampir menjadi mangsa ragut.
Perutnya terasa lapar. Faryna memandang ke meja di sisi katilnya. Ada sepiring buah-buahan. Faryna mengambil sebiji buah lai dan memotongnya. Hanya dua hiris sahaja disuap ke mulutnya. Baki buah dan pisau pemotong diletakkan kembali ke piring. Setelah meneguk air mineral, Faryna menarik kembali selimutnya.
Ada segaris cahaya lampu jalan yang menyirami biliknya melalui celah-celah langsir yang sedikit terenggang. Keadaan begitu dingin. Faryna meraba-raba di sekitarnya. Mencari alat kawalan jauh untuk memperlahankan alat penghawa dingin. Namun dia tak menemuinya.
Dia menolak selimut. Niat di hati ingin bangun mencari alat kawalan jauh itu. Hatinya kecut bila tiba-tiba wajah-wajah peragut yang cuba merampas wangnya muncul di layar mindanya. Dadanya berombak. Bulu tengkuknya berdiri. Mengingatkan itu, Faryna tak jadi bangkit.
Sebaliknya dia menarik selimut hingga menutupi seluruh tubuhnya. Beberapa ketika dia begitu. Namun, bila teringatkan keradaannya yang terbujur seperti mayat, dia menolak selimut kerana tak mahu mati lagi. Hanya kepalanya terjojol dari selimut. Tiba-tiba dia terdengar sesuatu. Matanya terkebil-kebil. Dia cuba mengecam bunyi apakah itu. Terdengar bunyi tapak kaki menghampiri bilik wadnya.
Bunyi tapak kaki itu berhenti di luar pintu. Mungkin jururawat datang untuk memberinya ubat atau mengambil tekanan darahnya. Namun suasana menjadi sunyi. Tiada sesiapa yang memulas tombol pintu. Faryna menahan nafas bila layar mindanya memutar imej-imej yang menggerunkan. Dengan pantas dia menarik selimut menutupi wajahnya hingga ke paras mata pula. Pandangannya menerkam ke arah tombol pintu bila ia mula bergerak-gerak.
’Mak...’ Itu sahaja nama yang diserunya dalam keadaan takut itu.
Perlahan-lahan pintu terkuak. Sesusuk tubuh lelaki menjengul. Tetapi wajahnya tidak kelihatan kerana dilindungi kegelapan. Lelaki yang berpakaian serba putih itu bergerak menghampiri. Akhirnya dia berdiri di hujung katil dengan tangannya terletak ke hadapan seperti berkiam.
“Fa... Fariz ?” Faryna menyapa sebaik sahaja wajah lelaki itu terserlah dibias cahaya dari luar bilik.
Fariz mengangguk perlahan mengiyakan. Pandangan lembutnya mencerun ke arah gadis itu. Perlahan-lahan dia mengukir senyuman. Mempamerkan wajah yang tenang. Faryna tertunduk. Dadanya berdebar. Malu akibat rasa bersalah kerana selalu mempersenda lelaki itu.
“Assalamualaikum...” sapa Fariz lembut.
“Walaikumsalam...” Sepatah Faryna menjawab tanpa mengangkat wajahnya.
Bersambung Khamis hadapan, 4.9.08, insya-ALLAH... _________________
 |
|