FAQ   Search   Memberlist   Usergroups   Register   Profile   Log in to check your private messages   Log in 

28. DILEMA PERASAAN

 
Post new topic   Reply to topic    eymanhykal Forum Index -> BERDANSA DENGAN MAUT
View previous topic :: View next topic  
Author Message
eyman hykal



Joined: 08 Jul 2005
Posts: 512

PostPosted: Fri Aug 22, 2008 8:27 am    Post subject: 28. DILEMA PERASAAN Reply with quote

28

DILEMA PERASAAN


“AKU dah berjaya siapkan Silent Dead! Yesss!!!” jerit Willem lalu terus berdiri dan menari terlompat-lompat. Bruce yang mendengarnya turut berasa teruja. Matanya membulat. Mulutnya ternganga kerana takjub. Perlahan-lahan wajahnya pun bertukar ceria. Akhirnya dia pun berdiri dan menari sambil bertepuk tangan meraikan kejayaan rakannya itu. Kini, kedua-dua lelaki yang terpisah separuh benua itu menari bagai orang sewel.

“Wo, wo, wo...” kata Willem seketika kemudian lalu mengisyaratkan agar mereka berhenti meraikan kejayaan itu. Dia duduk kembali menghadap komputernya. Bruce turut duduk. Kini mereka saling memandang sambil tersengih-sengih bangga.
“Tahniah, Willem. Aku bangga dengan kau. Aku sendiri tak percaya idea itu akan menjadi realiti. Kau tau... bila kita bertukar kerja dari Combyte ke JustWorld, aku dah lupakan idea Silent Dead. Pada aku, Silent Dead hanyalah sebuah idea. Tapi kau tak macam aku,” kata Bruce dengan nada serius.

“Itulah kau. Dari dulu lagi aku percayakan konsep Silent Dead. Sebab itu aku dapat terjemahkan idea kau menjadi realiti. Kau yang patut terima ucapan tahniah dari aku, Bruce,” jelas Willem, enggan dipuji melangit.
Bruce hanya tersengih dan terangguk-angguk. Kedua-duanya saling berbalas-balas pujian. Sememangnya mereka sekepala. Di antara mereka, Brucelah yang lebih banyak berangan-angan. Willem pula jenis ulat buku. Tidak kreatif seperti rakannya. Namun, dia handal mencari maklumat yang diperlukan. Bila Bruce punyai idea, kepada Willemlah idea itu ditumpahkan. Kerana kesebatian persahabatan itulah, alat canggih yang diberi nama Silent Dead dapat diwujudkan.

“Tapi, apa yang kau nak buat dengan Silent Dead tu?” soal Bruce.
“Gluke dah tahu tentang Silent Dead. Aku tak tau macam mana dia dapat tahu. Semalam dia panggil aku. Dan, dia kata nak komersialkan alat itu.”
“Wow! Tentu kau dapat naik gaji!” teka Bruce.
“Bukan setakat naik gaji, Bruce. Aku dapat peluang untuk mengetuai projek ini. Dapat kongsi keuntungan pulak jika projek ini berjaya!” ujar Willem dengan bangganya.

“Kau memang layak, Willem. Bezanya kau dengan aku... aku ni suka merapu. Sebaliknya kau pragmatik. Itu sebabnya aku amat bangga dengan kau. You’ve made it, man!”
“Apa kata kalau kita berkongsi untuk majukan projek ini?” cadang Willem. “Kau pun memang pakar ekonomi. Kalau kau setuju, aku akan beritau Gluke untuk masukkan sekali nama kau sebagai rakan kongsi projek ini.”

Matanya terkelip-kelip sambil mengharap reaksi yang menggembirakan dari Bruce. Namun Bruce hanya menggeleng. Dia menghela nafas yang dalam. Kemudian dia mengukir senyuman.
“You go on, my friend... you go on. Aku dah penat terperap dalam pejabat. Biarlah aku dengan kerja aku yang macam ni. Dapat jugak aku tengok dunia.”
“Okey... kalau kau tak mau, aku tak memaksa. Cuma...” Willem menelan liur. Kemudian dia menggaru kepala dan meraup wajahnya. Sesekali matanya mencuri-curi memandang Bruce. Seolah-olah ada sesuatu yang ingin disampaikan tetapi tidak tergamak melafaznya. Ini membuatkan Bruce tertanya-tanya.

“Engkau tau yang aku tak suka berteka-teki, Willem. Cakaplah apa yang kau tengah fikirkan tu,” ujar Bruce perlahan.
Willem mengeluh dalam. Kemudian dia berkata, “Kau pun tahu betapa bahayanya Silent Dead...”Bruce terangguk-angguk. “Betul... tapi itulah senjata, namanya.”
“Tapi senjata ini lain dari yang lain,” ujar Willem dengan wajah yang sugul. Kegembiraannya seketika tadi sudah bertukar wajah.
Bruce tersengih. “Senjata adalah senjata. Ia diguna untuk mempertahankan diri, melemahkan musuh selain membunuh.”

“Tapi Silent Dead bukan macam tu, Bruce.”
Kata-kataWillem itu membuat Bruce memandang tepat ke arahnya.
“Kalau senjata lain boleh juga digunakan untuk mempertahankan diri atau melemahkan musuh, Silent Dead tak boleh diguna untuk kedua-dua fungsi itu. Sebaliknya ia hanya punyai satu fungsi. Silent Dead tak ada fungsi yang baik selain daripada untuk membunuh! Itu saja.”
“Kau ni penakutlah!” Bruce mengacum perasaan Willem.

Willem menggeleng beberapa kali. “Aku bukannya takut, Bruce. Tapi aku mula rasa bersalah bila Gluke nak komersialkan Silent Dead. Sepatutnya idea kau tu aku ubah sikit menjadi pelali seperti stun gun yang tidak boleh membunuh.”
“Listen to me, my friend,” Bruce mencelah. “Fungsi utama senjata adalah untuk membunuh. Kalau tidak, ia tak dinamakan senjata. Senjata diguna untuk membunuh musuh.”

“Kau tau yang aku tak pernah membunuh manusia, Bruce. Dan aku bencikan pembunuhan. Bila aku buat Silent Dead, aku menggalakkan pembunuhan. Aku jadi pembunuh!” Willem tergeleng-geleng kesal.
“Aku pun bertanggungjawab melahirkan Silent dead, Willem. Tapi memang tugas kita, sebab kita pandai buat senjata. Bayangkan kalau kita tak buat senjata semata-mata kerana takut membunuh... orang lain akan membunuh kita dengan senjata mereka! Kalau tak ada senjata, tak ada sesiapa yang boleh mempertahankan diri, keluarga dan juga negara.
Sebenarnya kita sedang melakukan sesuatu yang baik untuk negara. Kita menjadi penyumbang kepada keselamatan negara walaupun peranan kita ini kecil. Hei, berbanggalah, kawan!” kata Bruce lalu menyentuh penumbuknya ke skrin komputer, seolah-olah sedang menumbuk secara bergurau ke wajah Willem.

“Cool it, my Judy!” kata Bruce lagi.
Willem hanya diam. Dia mengeluh lagi.
“Ya... kata-kata kau tu betul jugak,” ujar Willem setelah dia termenung seketika.
Bruce hanya tersenyum melihat Willem yang kini tenang. Dia berharap dapat memotivasi dan menghilangkan rasa bersalah sahabatnya.

Bersambung Khamis hadapan, 28.8.08, insya-ALLAH...
_________________
Back to top
View user's profile Send private message
Display posts from previous:   
Post new topic   Reply to topic    eymanhykal Forum Index -> BERDANSA DENGAN MAUT All times are GMT + 8 Hours
Page 1 of 1

 
Jump to:  
You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot delete your posts in this forum
You cannot vote in polls in this forum


Powered by phpBB © 2001, 2002 phpBB Group : Theme and Graphics created by Tim Blackman