eyman hykal

Joined: 08 Jul 2005 Posts: 512
|
Posted: Thu Jun 05, 2008 8:37 am Post subject: 17. TAKUT ORANG YANG BERANI |
|
|
17
TAKUT ORANG YANG BERANI
Pusat Snuker Cue Ball, Bukit Bintang, Kuala Lumpur
MEREKA yang berada di dalam premis itu terpaku. Masing-masing berhenti bermain. Muzik yang menghingari premis snuker itu dihentikan. Suasana menjadi hening. Dua tiga orang daripada mereka berjalan perlahan-lahan ke arah Fariz. Ada seorang-dua dari mereka bergerak ke belakangnya. Seolah-olah mereka sedang menyusun langkah untuk mengepungnya.
Sedikit pun Fariz tidak gentar. Dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Kedatangannya ke mari hanya untuk menyerahkan wang kepada Zack, teman lelaki Fasyadina. Memikirkan itu, Fariz melangkah dengan yakin menghampiri beberapa orang lelaki yang berdiri semakin merapat. Seolah-olah membuat benteng agar dia tidak boleh melepasinya.
“Cari siapa?” soal seorang daripada mereka yang bertubuh agam. Dia memandang Fariz dari hujung rambut ke hujung kaki. Seolah-olah ingin menjadikan Fariz sebagai bahan santapan mereka
“Cari Zack...” jawab Fariz, tenang.
“Untuk apa?” soalnya. Suaranya semakin lantang.
“Saya bawa sesuatu dari Dina untuk Zack!”
Kata-kata itu membuatkan mereka berpandangan sesama sendiri. Kehairanan dan tertanya-tanya siapakah Fariz.
“Tepi!” Kedengaran satu suara dari arah belakang mereka.
Masing-masing membuka laluan. Memberi jalan kepada seorang lelaki yang berbaju-T sendat tanpa lengan. Kelihatan lengan dan bahunya yang berulas-ulas dengan otot. Dia berseluar kulit berwarna hitam berkilat. Rambutnya beremos. Kelihatan seperti hero tahun 60an. Dia menapak perlahan ke arah Fariz. Sebaik sahaja dia berada kira-kira sedepa dengan Fariz, dia menadah tapak tangannya.
‘Oh, inilah Zack,’ kata hati Fariz.
Lalu dia menghulurkan sampul surat berisi wang itu kepada Zack. Tanpa berkata apa-apa, juga Zack menerimanya. Lalu Fariz berpaling hendak keluar dari premis itu.
“Nanti,” kata Zack.
Fariz menghentikan langkah lalu menoleh. Mereka bertentang mata. Namun, dia segera menekur ke lantai. Tidak mahu tenung merenung kerana ia boleh disalah erti. Nanti panjang ceritanya.
“Siapa nama kau?” soalnya dengan nada memerintah.
“Fariz.”
“Kenapa, engkau tak pandang muka aku? Jijik?” soal Zack.
“Tak.”
“Habis, kenapa?”
“Tak berani.” Itu sahaja jawapan yang terpacul dari mulutnya.
“Kalau tak berani, itu maknanya kau takutlah!” komen salah seorang dari mereka.
Fariz mengangguk spontan.
“Ha, ha, ha!” Mereka tertawa beramai-ramai. Zack ketawa sampai terbatuk-batuk. Fariz hanya mendiamkan diri. Bersabar dan beristighfar melihat gelagat mereka.
“Pergilah!” ujar Zack sambil menguiskan tangannya sebagai isyarat menyuruh Fariz berlalu.
Dengan tertib, Fariz mengundur diri. Meninggalkan premis yang masih riuh rendah itu.
Bersambung Khamis hadapan, 12.6.08, insya-ALLAH... _________________
 |
|